Selasa, 17 Januari 2012

Penubuhan Persatuan Bawean Singapura


Potongan dari surat perasmian pendaftaran Persatuan Bawean Singapura

Persatuan Bawean Singapura telah ditubuhkan secara rasmi pada 19hb March 1934 dengan nama "Persatuan Bawean Singapura Association" oleh masyarakat Bawean yang bermastautin di Singapura semasa jajahan British. Persatuan ini kemudiannya didaftarkan semula dengan nama "Persatuan Bawean Singapura" selepas perang dunia kedua pada tahun 1947 setelah ada yang menyedari bahawa perkataan "Persatuan" mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris "Association". Nama "Persatuan Bawean Singapura" kekal hingga pada hari ini.

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Bawean Singapura)

Ringkasan Sejarah Pembentukan Persatuan Bawean Singapura


Persatuan Bawean Singapura di tahun 1930an

Pembentukan Persatuan Bawean Singapura bermula semasa jajahan British. Ketika itu orang-orang Bawean yang berkerja dengan pegawai-pegawai British sebagai drebar selalu bersengketa sesama sendiri. Salah faham sering terjadi kerana mereka berasal dari berbagai desa di pulau Bawean.

Memandangkan hal yang remeh-temeh ini selalu berlaku, pihak British telah mengesyorkan supaya masyarakat Bawean yang telah menetap di Singapura, membentuk satu pertubuhan untuk menjaga keamanan dan keharmonian hidup sebagai satu kelompok bangsa dari pulau Bawean. Pada 19hb March 1934, persatuan orang-orang Bawean Singapura yang pertama ditubuhkan secara rasmi.

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Bawean Singapura)

Fungsi Awal Persatuan Bawean Singapura


Keadaan di dalam Pondok 
(1960an)
Fungsi awal Persatuan Bawean Singapura pada zaman jajahan British sangat berlainan sekali dengan fungsi persatuan ini di masa kini. Punca utama adalah kerana tiada lagi pondok-pondok Bawean di Singapura seperti dahulu. Di sebabkan peredaran masa, pondok-pondok ini tidak lagi wujud pada zaman ini. Kini orang-orang berasal dari pulau Bawean yang berwarga Singapura hanya tinggal segelintir dan yang ramai adalah keturunan mereka.

Keadaan di bahagian dapur
(1970an)
Pada zaman jajahan British, masyarakat Bawean di Singapura tinggal di pondok-pondok dari desa masing-masing. "Institusi Pondok" yang ditadbir oleh Pak Lurah bertindak sebagai pelopor, membantu orang-orang dari pulau Bawean yang ingin berhijrah ke Singapura dengan menyediakan tempat untuk berteduh serta bantuan mencari kerja sedangkan pondok-pondok ini semuanya tidak didaftarkan dengan pihak Registrar of Singapore Society.

Dengan hal yang sedemikian Persatuan Bawean Singapura berfungsi untuk menaungi semua pondok-pondok yang ada di Singapura ketika itu. Semua Pak Lurah dari pondok-pondok ini menjadi ahli Persatuan Bawean Singapura. Mereka adalah ahli-ahli yang terawal sekali di persatuaan ini.

Keadaan di sebuah Pondok di Kampong Kapor pada zaman jajahan British

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat, Persatuan Bawean Singapura)

Isnin, 16 Januari 2012

Visi dan Misi Persatuan Bawean Singapura

Visi Persatuan Bawean Singapura

Melestarikan Bahasa dan Budaya masyarakat Bawean.

Menggalak penyertaan program-program National.

Memelihara dan mengukuhkan perhubungan antara kaum.


Misi Persatuan Bawean Singapura

Melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan ekonomi Singapura demi perkembangan dan kemajuan negara.


Nilai Dasar Persatuan Bawean Singapura

Menampung dan menggalakkan semangat gotong-royong masyarakat Bawean demi keharmonian dan perpaduan rakyat dan negara Singapura.


Fungsi Persatuan Bawean Singapura

Fungsi Persatuan Bawean Singapura ialah untuk menghidupkan Visi persatuaan ini serta melaksanakan Misi nya itu dengan mengamalkan nilai dasar yang dipegangnya.

Ahad, 15 Januari 2012

Pengumuman Blog Rasmi Persatuan Bawean Singapura

Assalamu'alaikum kepada semua para pembaca di halaman ini. Semuga anda sekelian berada di dalam keadaan sihat sentiasa. Terlebih dahulu kami, ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura, mengucapkan selamat menyambut tahun 2012. Terima kasih kami ucapkan kepada semua ahli-ahli Persatuan Bawean Singapura dan juga kepada semua yang telah memberi sokongan kepada persatuan kami ini.

Di ruang ini, dengan sukacitanya kami mengumumkan penerbitan blog ini sebagai blog rasmi Persatuan Bawean Singapura. Tujuan utama blog ini ialah untuk memperluaskan pengetahuan masyarakat umum mengenai Persatuan Bawean Singapura. Blog ini juga merupakan landasan bagi para pembaca melungsuri halaman-halaman yang diurus oleh kami.

Akhirkata, kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi melungsur dan melayari halaman-halaman kami. Begitu juga kepada mereka yang telah memberi sokongan kepada persatuan kami ini terutama sekali ahli-ahli Persatuan Bawean Singapura. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memohon ma'af jikalau ada kesilapan yang tidak disengajai atau jika ada kecacatan yang terdapat di persatuan kami ini. Jikalau ada tidak kesempurnaan pada kegiatan-kegiatan anjuran kami dan juga jika ada tidak kepuasan pada penampilan kami, ribuan ma'af kami mohon. Sekian.

Yang iklas
Ahli-Ahli Jawatankuasa
Persatuan Bawean Singapura