Selasa, 17 Januari 2012

Penubuhan Persatuan Bawean Singapura


Potongan dari surat perasmian pendaftaran Persatuan Bawean Singapura

Persatuan Bawean Singapura telah ditubuhkan secara rasmi pada 19hb March 1934 dengan nama "Persatuan Bawean Singapura Association" oleh masyarakat Bawean yang bermastautin di Singapura semasa jajahan British. Persatuan ini kemudiannya didaftarkan semula dengan nama "Persatuan Bawean Singapura" selepas perang dunia kedua pada tahun 1947 setelah ada yang menyedari bahawa perkataan "Persatuan" mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris "Association". Nama "Persatuan Bawean Singapura" kekal hingga pada hari ini.

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Bawean Singapura)

Ringkasan Sejarah Pembentukan Persatuan Bawean Singapura


Persatuan Bawean Singapura di tahun 1930an

Pembentukan Persatuan Bawean Singapura bermula semasa jajahan British. Ketika itu orang-orang Bawean yang berkerja dengan pegawai-pegawai British sebagai drebar selalu bersengketa sesama sendiri. Salah faham sering terjadi kerana mereka berasal dari berbagai desa di pulau Bawean.

Memandangkan hal yang remeh-temeh ini selalu berlaku, pihak British telah mengesyorkan supaya masyarakat Bawean yang telah menetap di Singapura, membentuk satu pertubuhan untuk menjaga keamanan dan keharmonian hidup sebagai satu kelompok bangsa dari pulau Bawean. Pada 19hb March 1934, persatuan orang-orang Bawean Singapura yang pertama ditubuhkan secara rasmi.

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat Persatuan Bawean Singapura)

Fungsi Awal Persatuan Bawean Singapura


Keadaan di dalam Pondok 
(1960an)
Fungsi awal Persatuan Bawean Singapura pada zaman jajahan British sangat berlainan sekali dengan fungsi persatuan ini di masa kini. Punca utama adalah kerana tiada lagi pondok-pondok Bawean di Singapura seperti dahulu. Di sebabkan peredaran masa, pondok-pondok ini tidak lagi wujud pada zaman ini. Kini orang-orang berasal dari pulau Bawean yang berwarga Singapura hanya tinggal segelintir dan yang ramai adalah keturunan mereka.

Keadaan di bahagian dapur
(1970an)
Pada zaman jajahan British, masyarakat Bawean di Singapura tinggal di pondok-pondok dari desa masing-masing. "Institusi Pondok" yang ditadbir oleh Pak Lurah bertindak sebagai pelopor, membantu orang-orang dari pulau Bawean yang ingin berhijrah ke Singapura dengan menyediakan tempat untuk berteduh serta bantuan mencari kerja sedangkan pondok-pondok ini semuanya tidak didaftarkan dengan pihak Registrar of Singapore Society.

Dengan hal yang sedemikian Persatuan Bawean Singapura berfungsi untuk menaungi semua pondok-pondok yang ada di Singapura ketika itu. Semua Pak Lurah dari pondok-pondok ini menjadi ahli Persatuan Bawean Singapura. Mereka adalah ahli-ahli yang terawal sekali di persatuaan ini.

Keadaan di sebuah Pondok di Kampong Kapor pada zaman jajahan British

(Sumber: Haji Mohammad Seain, mantan Setiausaha Kehormat, Persatuan Bawean Singapura)